KUALA LUMPUR 26 Okt. – Hanya tinggal 3.6 juta hektar atau 20 peratus daripada 12.8 juta hektar keseluruhan tanah rizab Melayu di Semenanjung dimiliki penuh oleh orang Melayu.
Baki 9.2 juta hektar tanah rizab Melayu yang seharusnya menjadi milik orang Melayu bagaimanapun berjaya diperoleh orang bukan Melayu meskipun status tanah masih sebagai tanah rizab Melayu.
Profesor Pelawat Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Nik Mohd. Zain Nik Yusof yang mendedahkan perkara itu memberitahu, perkara itu berlaku disebabkan kegagalan orang Melayu mempertahankan tanah rizab mengikut perkara 89 Perlembagaan Persekutuan iaitu Memperkukuhkan Enakmen Rizab Melayu Negeri-Negeri.
Menurutnya, kegagalan paling jelas tanah-tanah rizab dirampas dengan mudah oleh orang asing apabila orang Melayu tidak tahu, semua tanah rizab yang dibatalkan daripada digunakan kerajaan negeri perlu diganti dengan merizabkan satu kawasan yang mempunyai keluasan sama dengan status sebagai tanah rizab Melayu.
“Perkara seumpama itu jika dibiarkan dibimbangi akan menyebabkan Malaysia menjadi seperti Palestin apabila tanah mereka dirampas tanpa sebarang undang-undang oleh Israel.
“Sehubungan itu, diharap kerajaan dapat melakukan kajian khas bagi melihat perangkaan tanah rizab yang telah hilang dan bagaimana untuk membantu orang Melayu memahami secara keseluruhan enakmen rizab Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana dan Forum: Isu Tanah Rizab Melayu anjuran Biro Pemantauan dan Integriti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac) di sini hari ini.
Nik Mohd. Zain yang juga bekas Ketua Pengarah Pejabat Tanah dan Galian berkata, isu tanah rizab Melayu tidak akan selesai tanpa campur tangan pentadbiran negara memandangkan kerajaan negeri dilihat tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan hak orang Melayu.
“Saya berkata benar, saya pernah bercakap sendiri dengan dua Menteri Besar meminta mereka mempertahankan tanah rizab Melayu tetapi respons mereka mengecewakan. Mereka tidak berminat untuk menggantikan kepada orang Melayu kerana nilainya yang rendah berbanding dijual kepada orang bukan Melayu,” katanya.
Menurutnya, Jabatan Peguam Negara sendiri telah mengingatkan, pihak berkuasa negeri perlu mengganti semula tanah rizab yang digunakan bagi projek awam seperti lebuh raya dan sekolah dengan mengeluarkan warta.
Bagaimanapun katanya, pihak pemaju dalam negara yang hampir keseluruhan terdiri daripada kaum Cina menyokong supaya kerajaan negeri tidak mengeluarkan warta berkenaan.
“Isu tanah rizab boleh menyelamatkan orang Melayu sekiranya kerajaan negeri menggantikan tanah rizab yang diwartakan keluar daripada kawasan tanah rizab mengikut perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan.
“Semua kerajaan negeri juga perlu memasukkan peruntukan baharu dalam Enakmen Rizab Melayu bagi membolehkan pemilik tanah Melayu dapat mengisytiharkan tanah milik mereka sebagai tanah rizab Melayu seperti negeri Johor,” katanya.
No comments:
Post a Comment