Kadar baru tol buat rakyat merempat
Kenaikan kadar baru tol akan buat rakyat menyampah dengan kerajaan
PETALING JAYA : Kenaikan kadar oleh enam pemegang konsesi lebuhraya akan menjadikan rakyat di negara ini merempat.
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI MLC), Mohamed Shafie BP Mammal berkata, keadaan itu menambahkan lagi beban yang ditanggung selepas mereka dibebani dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak dan keadaan gaji yang teruk.
“Saya rasa kenaikan ini tidak kena pada waktunya. Ada baiknya kerajaan tangguh dulu. Tak payah naikkan (kadar tol).
“Rakyat pun rasa naik marah. Kalau kerajaan tidak ada duit, cari kaedah lain bukan dengan cara macam ini. Ini disebabkan kebanyakan pengangkutan awam kita amat teruk, bukannya bertambah baik,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today pada Isnin.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kadar baru tol berkuatkuasa pada 15 Oktober ini.
Menurutnya, kerajaan sepatutnya tidak memikirkan kepada keuntungan semata-mata tetapi harus memikirkan kepada kesusahan rakyat.
“Macam sekarang ini bila tak cukup (duit), dia bebankan pengguna. Pengguna bukannya sentiasa ada duit..pengguna miskin juga.
“Ada baiknya kerajaan ambil langkah yang positif, jumlah yang patut dibayar kepada tol itu patutnya kerajaan yang bayar dulu. Itu namanya kerajaan,” katanya.
Shafie menambah, kerajaan juga sepatutnya tidak menjadikan perkara-perkara seperti kenaikan kadar tol, minyak dan harga barang sebagai suatu kebiasaan.
“Setiap kali naik, setiap kali naik…rakyat pun dah naik menyampah. Cari satu kaedah lain yang terbaik,” ujarnya.

No comments:
Post a Comment