Tuesday, September 25, 2012


Bagaimana Nabi Muhammad Mendorong Semangat Kerja Anak Buahnya


Anak-anak buah Nabi Muhammad mempunyai semangat kerja yang sangat tinggi.

+  Mereka taat melaksanakan tanggungjawab, tugas dan kerja-kerja hakiki dengan ikhlas dan sepenuh jiwa, seperti solat, berpuasa dan membayar zakat.

+  Mereka taat melakukan tanggungjawab dan tugas yang diarahkan dari waktu ke waktu, seperti pergi berperang, menghantar surat kepada raja-raja di luar negara dll.

+  Mereka mempunyai inisiatif melakukan kerja-kerja secara sukarela untuk ketua tanpa diarahkan ataupun disuruh, seperti dalam hadith 'Tolong Saya dengan Bersujud'.

Hadith ini menunjukkan prinsip, strategi dan teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila beliau mendorong anak buahnya supaya berusaha lebih kuat bagi mencapai cita-citanya.

Dalam hadith ini, Rabi'ah bin Ka'ab sangat mengasihi ketuanya, yakni Nabi Muhammad. Dia sanggup mengambil inisiatif melakukan kerja-kerja sukarela untuk beliau, tanpa mengharapkan sebarang balasan dari ketuanya.

Kita dapat andaikan Rabi'ah melakukan kerja-kerja itu dengan hati yang ikhlas dan semata-mata didorong oleh kemahuan mencari redha Allah Ta'ala.

Nabi Muhammad menunjukkan prinsip motivasi kerja yang amat jelas. Sebagai ketua, apabila anak buahnya melakukan kerja yang ikhlas demi mendapatkan redha Allah sekalipun, sebagai ketua Nabi Muhammad tetap memberi upah.

Prinsip dan strategi Nabi Muhammad memberi upah kepada anak buahnya yang melakukan kerja sukarela:

1. Apabila anak buahnya melakukan kerja-kerja secara sukarela, Nabi Muhammad membalas dengan memberi ganjaran atau 'upah'.

2. Upah itu ditawarkan serta-merta, yakni tidak ditangguh-tangguhkan.

3. Upah yang ditawarkan itu adalah upah yang beliau sebagai ketua mempunyai kuasa memberikannya.

4. Nabi Muhammad memberi tawaran terbuka dengan berkata: 'Mintalah apa yang saudara mahu.'

5. Apabila anak buahnya meminta sesuatu yang mudah diberikan, Nabi Muhammad membuka satu lagi tawaran terbuka dengan berkata: 'Apakah ada yang lain lagi yang saudara mahu?'

6. Nabi Muhammad mendorong anak buahnya supaya melakukan lebih banyak kerja supaya dengan itu beliau dapat dengan lebih mudah memberikan upah yang diingini oleh anak buahnya. Dalam kes ini Nabi Muhammad mendorong Rabi'ah supaya membanyakkan bersolat dengan berkata: 'Bantulah saya memperkenankan hajat saudara itu dengan cara saudara memperbanyakkan sujud.'

Hadith 'Tolong Saya dengan Bersujud'
Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Rabi'ah bin Ka'ab melaporkan, katanya: "Saya pernah tidur malam bersama dengan Rasulullah. Maka saya sediakan air untuk berwuduk dan keperluan lain untuk beliau. Lalu Rasulullah berkata kepada saya, 'Mintalah apa yang saudara mahu.' Saya menjawab, 'Saya mahu mendampingi tuan di syurga nanti, wahai Rasul Allah!' Rasulullah berkata lagi, 'Apakah ada yang lain lagi yang saudara mahu?' Aku menjawab, 'Itu sahaja yang saya mahu.' Lalu Rasulullah berkata, 'Bantulah saya memperkenankan hajat saudara itu dengan cara saudara memperbanyakkan sujud.'" -- Hadith ini terdapat dalam koleksi hadith autentik oleh Imam Muslim
 

No comments:

Post a Comment