Dana masuk akaun Najib bukan derma, tapi pelaburan: Menteri Luar Arab Saudi
Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir berkata sejumlah wang bernilai AS$681 juta yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sebagai ‘derma’.
Sebaliknya, ia adalah wang pelaburan di Malaysia, katanya seperti yang dilaporkan New York Times (NYT) semalam.
“Ia adalah warga Saudi, saya percaya, dana itu diberi kepada satu pelaburan di Malaysia,” katanya pada temubual bersama NYT, Khamis lalu.
Laporan itu memetik kenyataan seorang kerabat rapat dengan keluarga diraja yang tidak mahu didedahkan identitinya berkata wang itu disahkan datang daripada seorang putera Saudi, tetapi ia bukan derma.
Bagaimanapun, kerabat itu mempersoalkan jumlah wang itu tetapi berkata dana tersebut merupakan sebahagian daripada perjanjian perniagaan.
Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali mengesahkan bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib merupakan derma daripada keluarga diraja Saudi dan mengarahkan supaya menutup kes itu.
Namun, pihak berkuasa Switzerland yang menyiasat pelaburan syarikat negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menemui sejumlah AS$4 bilion (RM16.8 bilion) hilang daripada syarikat itu.
Peguam Negara Switzerland Michael Lauber juga menyuarakan kebimbangan atas keputusan rakan sejawatnya di Malaysia yang menghentikan siasatan ke atas kes perpindahan dana ke dalam akaun Najib itu, mengatakan tindakan itu akan mengganggu siasatan yang dijalankan Switzerland ke atas 1MDB.